Adakah lelaki lembut dilaknat oleh Allah?
Salam ustaz, Adakah lelaki lembut dilaknat oleh Allah? saya dibesarkan sejak kecil seperti lelaki, tetapi kerana suasana pembesaran, menjadikan saya lebih bersifat keperempuanan. Iaitu, cara saya bercakap lembut, pergerakan juga lembut. bila remaja, saya mula suka kepada kedua-dua lelaki dan perempuan. saya tertarik dengan lelaki yg hensem dan macho. Pada masa yang sama, saya suka perempuan yang alim dan solehah. Tetapi, nafsu shahwat saya lebih terarah kepada lelaki sehinggalah sekarang. Saya tahu homoseks adalah haram dan dilaknat. Saya mencuba untuk menjauhinya dan Alhamdulillah, sekarang nafsu lebih terkawal.. Tetapi, sukar untuk saya padamkan nafsu sonsang tersebut.. Kadang-kadang mata saya masih melirik kepada lelaki hensem.. Saya cuba tundukkan pandangan mata. saya berdoa agar saya tidak gay dan saya rasa sedikit sebanyak sudah ada hasilnya. Cuma, untuk mempunyai shahwat dengan perempuan pula agak susah. Bila bercakap dengan wanita idaman saya, nafsu saya tidak terangsang sebagaimana saya melihat lelaki hensem.. Apakah nasihat ustaz? Bagaimana harus saya lupuskan kesemua nafsu songsang ? Selain itu, walaupun perasaan songsang mula lentur, tetapi sikap keperempuanan saya masih ada. Gaya lembut berjalan dan beraksi, cara percakapan saya. Saya rasa, mungkin sekali bercakap dengan orang sahaja, mereka sudah tahu saya jenis lembut.. Tabiat ini susah untuk saya buang. Adakah saya juga berdosa dengan menyerupai wanita dari cara ini? Sebab memang saya berjiwa lembut. Harap ustaz boleh bagi nasihat.
Jawapan : Takrif lelaki lembut ialah rangkai kata lembut lembai (dialek Kedah) yg bermaksud orang lelaki yg berjalan seperti orang perempuan. Lelaki yang lembut sering kali suka kepada pekerjaan wanita seperti mengemas rumah, memasak, berhias, berperasaan atau sikap seperti wanita dan sebagainya. Lazimnya lelaki lembut ini tidak suka kepada pekerjaan-pekerjaan yang berat sepertimana pekerjaan lelaki. Lelaki yang lembut adalah anugerah Allah dan tidak dilaknat Allah selagimana dia tidak melakukan perbuatan sumbang. Semua kejadian manusia dan alam ini adalah dari Allah, mereka juga dijadikan dengan sebaik-baik kejadian tanpa cacat cela. Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya).” (At-Tin : 4) Lelaki yang lembut juga memerlukan layanan yang baik sepertimana orang lain, tetapi malangnya masyarakat melayu sekarang ini rata-ratanya melayan mereka ini seperti orang yang tidak bermaruah.
Sesiapa yang mempunyai sahabat, keluarga, anak atau sebagainya dianggap malang kerana mengundang kutukan atau celaan orang lain. Mereka lupa sebenarnya ini semua adalah anugerah Allah kepada keluarga atau masyarakat tersebut. Allah hendak menguji mereka bagaimana mereka mendidik lelaki lembut ini atau mereka memdidik lelaki lembut ini kearah kemaksiatan seperti seks sejenis (homoseksual), lesbian atau sebagainya. Baru-baru ini telah digemparkan dengan kisah Fadhil Min yang berkahwin songsang dengan lelaki Inggeris. Sebenarnya lelaki lembut ini perlu dibimbing mereka ke arah yang dikehendaki oleh syariat supaya mereka tidak terjebak dalam masalah sosial seperti yang dinyatakan di atas. Keluarga perlu bertanggungjawab mengarahkan anak lelaki mereka yang lembut seperti, tidak membiarkan anak lelaki mereka memakai pakaian anak-anak perempuan, tidak membiarkan anak lelaki mereka berkawan dengan perempuan, tidak membiarkan anak lelaki mereka memasak dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan anak lelaki yang lembut tidak mempunyai perasaan perempuan atau cinta songsang. Sebagai masyarakat, kita tidak semestinya meminggirkan mereka yang lembut ini, kerana kebanyakkan kes yang berlaku seperti pondan atau mat nyah ini adalah disebabkan keluarga dan masyarakat yang meminggirkan mereka.
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya : “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang berkelakuan seperti perempuan dan perempuan yang berkelakuan seperti lelaki, dan kata baginda lagi “halau mereka dari rumahmu.” (Sahih Bukhari) Kembalilah ke pangkal jalan dan bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat dan berjanji tidak lagi mengulangi perbuatan yang terkutuk ini. Allah sangat membenci dan melaknat orang yang melakukan hubungan luar tabi’i. Berhijrahlah diri anda dari perlakuan yang lama kepada perlakuan yang baru, supaya hidup ini menjadi berkat dan menjadi hamba Allah yang baik ( Sifat Mahmudah). Seringlah takut akan azab Allah yang amat dahsyat kepada sesiapa yang melanggar perintah dan hakikat kejadian manusia. Firman Allah yang bermaksud : “Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)." (Al-Syams : 7-10) Kesimpulannya Lelaki lembut adalah dari ciptaan Allah dan ini semua adalah dari kehendak Allah.
Sumber: http://www.ustaznoramin.com
Catat Ulasan
0 Ulasan