Berita
Kes rogol pelajar tingkatan 2, Jabatan Pendidikan hantar pegawai ke Tawau
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bersedia memberi kerjasama dengan polis berhubung tujuh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditahan dipercayai merogol pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Tawau, Jumaat lalu.
Pengarahnya, Dr. Mistirine Radin berkata, pihaknya akan ke Ibu pejabat Polis Daerah Tawau, esok pagi, bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes tersebut.
“Selain itu, saya juga mengarahkan pegawai peperiksaan ke balai polis yang sama memandangkan mereka masih menduduki peperiksaan SPM.
“Semua pelajar terbabit masih dibenarkan mengambil peperiksaan SPM dan ia akan dijalankan di lokap atau lokasi mereka ditahan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Tambahnya, JPN terkejut dan sedih memandangkan perkara tersebut berlaku di dalam kawasan sekolah.
“Saya berharap agar pihak sekolah dan pengawal keselamatan dapat melaksanakan rondaan termasuk mengunci bilik yang berisiko disalah guna oleh pelajar,” katanya.
Terdahulu, Borneo Today melaporkan seorang remaja perempuan berumur 14 tahun dirogol oleh tujuh pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di Tawau.
Perbuatan keji mereka itu diketahui oleh seorang guru sebelum mangsa mengaku dirogol dua daripada suspek manakala empat lagi melakukan oral seks.
Seorang lagi suspek hanya melihat perbuatan rakannya.
Sehubungan itu, semua suspek ditahan semalam, selepas laporan polis dibuat oleh ibu mangsa pada pukul 3.30 petang pada hari yang sama.
Catat Ulasan
0 Ulasan