BERITA TERKINI: Kini pihak PDRM longgarkan syarat pengambilan, ini kelonggaran baru

Sebelum ini, sudah banyak cadangan supaya masyarakat bukan Melayu dan Bumiputera dibenarkan untuk menyertai PDRM. Cuma, usaha itu nampaknya kurang mendapat sokongan orang ramai. Akhirnya, hari ini kita ada satu berita gembira yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai yang menyokong idea ini. 

Warga Malaysia bukan Bumiputera yang layak kini boleh mengisi kekosongan jawatan konstabel dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa perlu mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata kelonggaran syarat itu diberi bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac ini.

"Kelonggaran syarat ini sebagai galakan supaya lebih ramai rakyat Malaysia bukan Bumiputera menyertai PDRM kerana pasukan ini memerlukan khidmat mereka. Bagaimanapun, mereka yang terpilih ke dalam jawatan perlu menduduki semula subjek Bahasa Melayu peringkat SPM dalam tempoh enam tahun mereka berkhidmat dan perlu lulus dengan kepujian. Sekiranya masih gagal dalam tempoh enam tahun, khidmat mereka akan ditamatkan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, permohonan dibuka bermula 18 hingga 31 Mac ini dan permohonan perlu dibuat secara dalam talian menerusi laman web https://epengambilanpdrm.rmp.gov.my.

Katanya, individu bukan Bumiputera yang pernah memohon sebelum ini boleh membuat permohonan baharu.

"Keutamaan diberi kepada pemohon bukan Bumiputera yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Cina, Tamil dan bahasa ibunda lain," katanya

Ramli berkata, pemohon mesti berumur tidak kurang 18 tahun dan tidak lebih 28 tahun pada tarikh permohonan dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan yang diiktiraf kerajaan.

Katanya, pemohon hanya perlu memiliki satu kepujian untuk mana-mana subjek peringkat SPM dan lulus empat mata pelajaran lain atau lulus Sijil Vokasional Malaysia.

"Pemohon perlu memenuhi syarat lain antaranya kelayakan fizikal iaitu tinggi sekurang-kurangnya 163 sentimeter (cm) bagi lelaki dan 157 cm bagi wanita.

"Berat badan bagi lelaki hendaklah sekurang-kurangnya 50 kilogram (kg) dan 48 kg bagi wanita manakala mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) di antara julat 19 hingga 26," katanya.

Ramli berkata, pemohon akan dipanggil ke sesi temu duga yang akan diadakan di bandar besar di seluruh negara.

PDRM juga, katanya, akan mengadakan pengambilan khas bagi Orang Asli menyertai PDRM.

"Jawatan yang ditawarkan adalah inspektor Gred YA13, konstabel YA1, konstabel Orang Asli Gred YP1 dan konstabel Gred YT1. Kita turut beri kelonggaran syarat pengambilan khas Orang Asli bagi jawatan konstabel Gred YP1 iaitu ketinggian 160 cm bagi lelaki dan 155 cm bagi wanita," katanya.

Bagi yang rasa ingin memohon jawatan ini, kami harapkan korang akan berjaya!


Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan