Sepuluh perkara tentang bantuan baru dari kerajaan yang anda perlu tahu sekiranya anda peniaga

Kalau semalam kami dah tulis artikel berkenaan bantuan-bantuan kerajaan yang akan diberikan kepada individu, kali ini kami akan bawakan SEPULUH bentuk bantuan berkaitan perniagaan yang diumumkan oleh kerajaan semalam. Semoga bantuan yang diberikan dapat membantu para peniaga menghadapi saat-saat sukar ini. 

1. Kadar GKP akan ditambah sebanyak 500 ringgit kepada RM1,500. Ini bermakna, hampir 1 juta PKS dan perusahaan mikro akan menerima 1,000 ringgit pada pertengahan bulan Jun dan 500 ringgit lagi akan disalurkan pada bulan Julai.

2. Kerajaan masih membenarkan operasi jual-beli peniaga kecil, penjaja jalanan dan termasuk perusahaan mikro. Oleh itu, sekiranya para peniaga ingin mendapatkan pembiayaan mikro kredit sebagai modal kerja, sebanyak 1.5 bilion ringgit disediakan bagi sepanjang tahun ini oleh BSN, TEKUN, MARA, SME Corp. dan YAPEIM dengan kadar pembiayaan serendah 3%.

3. Bagi membantu aliran tunai syarikat dan PKS, institusi perbankan akan terus menawarkan kemudahan pembiayaan dan pinjaman. Dana institusi perbankan telah dimantapkan lagi melalui pelbagai fasiliti pinjaman mudah PKS pembiayaan BNM yang masih berbaki 5 bilion ringgit.

Untuk menyokong lagi PKS, BNM akan menambah fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas sebanyak 2 bilion ringgit. Dengan itu, jumlah dana pinjaman untuk PKS dengan kadar pinjaman serendah 3.5% yang masih tersedia adalah sebanyak 7 bilion ringgit.

4. Semasa tempoh PKP, ia memberi kesan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah. Bagi mengurangkan beban mereka, Kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas secara one-off sebanyak 500 ringgit kepada 17 ribu pemandu pelancong, 40 ribu pemandu teksi, 11 ribu pemandu bas sekolah, 4 ribu bas persiaran dan 62 ribu pemandu kereta sewa dan e-hailing. Bantuan ini yang berjumlah RM68 juta akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada bulan Julai.

5. Selain itu, sebagai salah satu usaha mengurangkan beban perniagaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri akan mempertimbangkan rayuan pengenaan penalti dan menangguhkan pembayaran penalti ke tahun 2022 serta menyediakan penjadualan semula bayaran cukai tertunggak bagi pembayar cukai dan perniagaan yang terjejas.

6. Suruhanjaya Syarikat Malaysia juga bersetuju untuk memperkenalkan semula pelanjutan untuk penghantaran penyata kewangan, pelaksanaan mesyuarat tahunan bagi syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia dan moratorium denda bagi penghantaran lambat dokumen berkanun. SSM juga akan mengecualikan bayaran lewat untuk membaharui lesen perniagaan sehingga 31 Disember 2021 bagi PKS mikro serta perniagaan milikan tunggal dan perkongsian.

7. Di samping itu, Akta Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 atau Akta 829 akan ditambahbaik bagi membantu individu dan perniagaan yang terkesan. Perlindungan berkaitan ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontrak akan dilanjutkan tempoh kuatkuasa sehingga 31 Disember 2021. Sehubungan ini, Kerajaan menyediakan bantuan perkhidmatan pengantaraan atau mediation secara percuma melalui Pusat Mediasi COVID kepada semua individu atau perniagaan tanpa mengira latar belakang.

8. Kerajaan akan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor yang terjejas. Sehubungan itu, pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks membeli belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan layak menerima diskaun bil elektrik sebanyak 10% selama 3 bulan tambahan antara bulan Julai hingga September 2021.

9. Kerajaan juga bersetuju memberi potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS untuk tempoh 6 bulan lagi sehingga 31 Disember 2021 bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa semasa. Selain itu, pelanjutan sehingga 31 Disember 2021 bagi pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel masih berterusan.

10. Kerajaan bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem HOC tersebut sehingga 31 Disember 2021. Kerajaan juga bersetuju melanjutkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang CKD dan CBU import yang sebelum ini diumumkan di bawah inisiatif PENJANA mulai 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021.

Apa pandangan korang tentang bantuan-bantuan yang telah diberikan ini? Adakah korang rasa ia cukup untuk membantu para peniaga yang terjejas?

Dapatkan informasi terbaru tentang bantuan kerajaan dan kerja kosong melalui channel kami: https://t.me/blogrojak