i-Ceria KWSP: Kemudahan Pengeluaran Wang KWSP

“Sebagai kerajaan yang sentiasa memahami denyut nadi rakyat dan sentiasa mendengar setiap keluhan isi hati rakyat. Saya merayu bagi pihak mereka supaya kemudahan i-Ceria dapat diluluskan, agar senyuman dapat terukir kembali pada wajah ‘Keluarga Malaysia’


Permintaan rakyat terhadap pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara one-off sehingga hari ini masih hangat diperkatakan.

Malah, ada dalam kalangan rakyat yang masih berharap pengeluaran ini akan dapat diteruskan untuk kali terakhir.

Menurut Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol),  pengeluaran itu perlu diberikan kepada mereka yang memerlukan dan pengeluaran bergantung kepada jumlah simpanan masing-masing bagi mendepani situasi pasca pandemik.

Ini kerana,  terdapat keperluan mendesak dalam kalangan rakyat untuk menggunakan sebahagian wang persaraan mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Malah, tuntutan itu bertujuan bagi memastikan permintaan ‘Keluarga Malaysia’ dipenuhi, khususnya bagi yang masih bergelut dengan kesusahan akibat pandemik.

“Ditambah pula, musibah banjir baru-baru ini, sudah tentunya merencatkan perjalanan mereka yang baru sahaja memulakan fasa kehidupan baharu. Keadaan mereka ini sudah tentunya semakin parah, bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

“Sebagai kerajaan yang sentiasa memahami denyut nadi rakyat dan sentiasa mendengar setiap keluhan isi hati rakyat. Saya merayu bagi pihak mereka supaya kemudahan i-Ceria dapat diluluskan, agar senyuman dapat terukir kembali pada wajah ‘Keluarga Malaysia’.

“Memandangkan jaminan sambutan Aidilfitri tahun ini juga diberikan Bera (Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), maka kemudahan i-Ceria ini bakal memberi makna tersendiri buat ‘Keluarga Malaysia’,” katanya ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang menyokong tuntutan pengeluaran RM10,000 simpanan KWSP menjelaskan pihaknya menerima beberapa memorandum pelbagai pihak, agar ia dibenarkan.

“Kita faham KWSP ini simpanan hari tua. Kita bercakap tentang hari tua, tetapi rakyat bercakap tentang hari ini… apa yang mereka hendak makan,” katanya.


Sumber : Berita Harian