Indonesia mahu Malaysia mohon maaf berkenaan insiden di Stadium Nasional Bukit Jalil

Pihak Kementerian Pemuda dan Olahraga (Kemenpora) Indonesia telah meminta Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk menjelaskan insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Indonesia pada selasa lepas.

Setiausaha Kemenpora iaitu Gatot S Dewa Broto menjelaskan bahawa beliau telah menerima laporan tentang penyokong Indonesia yang hadir ke stadium dalam perlawanan tersebut telah diancam oleh penyokong Malaysia. Penyokong Indonesia juga dikatakan telah diprovokasi oleh penyokong Malaysia di luar stadium termasuk dibaling dengan objek selepas perlawanan berakhir.

Berikutan dengan kejadian itu, penyokong Indonesia tidak dibenarkan untuk meninggalkan stadium sehinggalah keadaan kembali terkawal. Oleh yang demikian, Gatot mahu Malaysia memohon maaf kepada penyokong Garuda sekiranya kejadian itu benar-benar berlaku.

“Kami belum dapat laporan lengkap dari PSSI kerana mereka tidak memberitahu mengenai perkara tersebut kepada kami. Tapi yang jelas, kami akan lihat kembali insiden tersebut. Esok akan ada pertemuan antara kami dan PSSI dan kami akan tanyakan mereka mengenai insiden di Kuala Lumpur itu.”

Menurut Gatot lagi, dia tidak menolak kemungkinan untuk melaporkan insiden berkenaan kepada FIFA selepas meneliti segala laporan dan mendapati ianya benar-benar berlaku.

“Kita lihat bagaimana perkembangannya kerana semasa di Stadium Gelora Bung Karno, ia sangat besar dan memalukan. Tetapi kita akan lihat dulu jika sangat serius kami akan menghantar surat kepada FIFA. Tapi sebenarnya jika insiden itu kecil atau besar sekali pun, pemerintah di sana (Malaysia) setidaknya mengutus surat pemintaan maaflah.”