Ong Kim Swee : Satu mata lebih baik daripada hilang tiga mata

Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara telah memulakan aksi sulung kumpulan A dalam kejohanan Sukan SEA 2019 dengan mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang pasukan Myanmar di Stadium Memorial Rizal Manila pada petang isnin semalam. Pengendali pasukan B-22 iaitu Datuk Ong Kim Swee mengakui bahawa para pemainnya bergelut untuk mempamerkan corak permainan terbaik mereka terutama pada separuh masa pertama sehingga melepaskan gol awal.

Bagaimanapun, Ong Kim Swee tetap positif dengan kebangkitan anak buahnya pada separuh masa kedua yang mana beraksi lebih baik dengan mengawal permainan dan memperoleh deretan peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan.

“Kalau lihat daripada segi persembahan terutama di babak pertama kita masih lagi gagal mengawal permainan dengan baik. Namun, separuh masa kedua kita bertambah baik dan nampak ada perkara positif. Perlawanan pertama sememangnya bukan mudah apatah lagi pemain sudah lama tidak bermain bersama. Walaupun hadapi kesukaran untuk menggerakkan bola di separuh masa pertama tetapi separuh masa kedua kita ada peluang lebih baik berbanding Myanmar.” kata Ong Kim Swee

Dalam perlawanan tersebut, pasukan Myanmar terlebih dahulu garang mendahului menerusi tandukan So Moe Kyaw pada minit ke-14 sebelum Muhammad Hadi Fayyadh menyamakan kedudukan 10 minit kemudian. Ong Kim Swee menyatakan bahawa sungguhpun skuad muda negara hanya berhasil meraih satu mata sahaja namun ianya lebih baik daripada kehilangan keseluruhan tiga mata.

Perlawanan seterusnya agak getir buat skuad kendalian Ong Kim Swee itu kerana mereka akan bermain di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah dalam perlawanan kedua pada Jumaat ini.