Pemain kacukan Belgium-Malaysia tunjukkan minat sarung jersi Harimau Malaya

Tidak boleh dinafikan bahawa kehadiran pemain naturalisasi sedikit sebanyak adalah penyumbang kepada kebangkitan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa. Antara pemain naturalisasi ialah Corbing Ong, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh dan Brendan Gan adalah antara pemain naturalisasi yang kini bermain besama pasukan kebangsaan kerana berdarah campuran Malaysia atau kerana sudah layak dijadikan warganegara.

Oleh sebab itu, maka tidak hairanlah jika lebih ramai pemain terutamanya yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia akan mula menunjukkan minat mewakili negara pada masa hadapan. Prestasi terkini pasukan negara di peringkat kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan atmosfera di Stadium Nasional Bukit Jalil juga pasti membuatkan ianya sebagai sesuatu yang mengujakan buat mana-mana pemain.

Terbaru, pemain kacukan yang berasal dari Belgium-Malaysia kelahiran Kuching, Sarawak iaitu Dion Jihan Cools juga menunjukkan minat untuk menyarung jersi pasukan negara. Melalui satu perkongsiannya di Instagram Story, Cools berkongsi gambarnya memperagakan jersi pasukan negara serba hitam bersama caption “Sejauh manakah anda mahukan ini?”.

Cools adalah merupakan seorang pemain yang beraksi di posisi bek kanan dan kini beraksi bersama Club Brugge KV di Liga Belgium. Selain daripada mewakili kelab di pentas Eropah, Cools juga pernah beraksi untuk Belgium di setiap peringkat umur pertandingan antarabangsa. Namun, sehingga kini iaitu pada usia 23 tahun dia belum lagi pernah mendapat panggilan daripada Roberto Martinez bersama skuad kebangsaan Belgium.

Sekiranya Cools benar-benar berminat untuk menyarung jersi pasukan Harimau Malaya, ianya pasti menarik untuk melihat beliau bersaing merebut tempat di posisi bek kanan bersama Matthew Davies dan Syahmi Safari.