Skuad B-22 tumbang di tangan Filipina

Pasukan bawah 22 tahun (B-22) negara sekali lagi menempuh jalan yang sukar  bagi misi mendapatkan pingat emas acara bola sepak kejohanan Sukan SEA 2019 selepas mereka ditewaskan oleh pasukan Filipina 1-0 dalam perlawanan kedua di Stadium Memorial Rizal, Manila semalam.

Jaringan tunggal oleh kapten pasukan The Azkal, Stephen Schrock memberikan tiga mata penting buat pasukan tuan rumah itu yang turun dengan misi wajib menang kerana sudah tewas kepada Myanmar dan hanya seri ketika berdepan Kemboja dalam dua perlawanan awal mereka di peringkat kumpulan.
Datuk Ong Kim Swee mengekalkan formasi 3-4-3 namun membuat dua perubahan daripada perlawanan pertama dengan meletakkan Nik Akif Syahiran dan R. Dinesh dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Umar Hakeem. Muhammad Hadi Fayyadh masih diberi kepercayaan untuk menjadi ‘target man’ sementara gandingan Daniel Amier dan Syamer Kutty Abba kekal diberi tanggungjawab di bahagian tengah.
Hanya 30 saat selepas perlawanan bermula, ketua pasukan Adam Nor Azlin melakukan kesilapan setelah tindakannya yang lambat membuat hantaran dipintas pemain Filipina dan terpaksa membuat halangan dan memberikan sepakan percuma untuk tuan rumah. Lucienne De Brucker yang mengambil sepakan percuma membuat hantaran pendek kepada Schrock yang membuat lorongan ke sebelah kanan namun berjaya dipintas pertahanan Malaysia untuk memberikan sepakan penjuru.
Dalam lima minit pertama, beberapa kali benteng Malaysia diuji dan diasak oleh pasukan tuan rumah,namun mampu diatasi oleh barisan pertahanan negara yang dibarisi Dominic Tan, Irfan Zakaria dan ketua pasukan Adam Nor Azlin. Malaysia mendapat peluang pada minit ke-22 setelah Nik Akif diterjah dari belakang di depan kotak penalti memberikan Malaysia sepakan percuma. Namun percubaan Adam Nor Azlin sekadar tepat ke dakapan penjaga gol Anthony Pinthus.
Selepas setengah jam perlawanan berlangsung, Hadi Fayyadh bertindak memintas pertahanan tuan rumah Justin Bass yang gagal mengeluarkan hantaran jauh Dominic Tan. Tetapi rembatan Hadi Fayyadh tersasar ke sebelah kanan gawang gol Filipina. Dua minit selepas itu Hadi Fayyadh berjaya merampas bola di dalam kotak penalti pasukan lawan, tetapi beliau memilih untuk menggelecek ke depan dan membuat hantaran lintang yang mudah ditangkap kemas penjaga gol sedangkan sebelum itu terdapat dua rakan sepasukan lain yang sudah bersedia menerima hantaran.
Memasuki masa kecederaan Filipina menyerang dari sebelah kiri dengan Schrock membuat hantaran lintang tepat menemui penyerang, Chima Uzoka namun tandukannya tinggi melepasi palang. Kemudian Akhyar Rashid yang membuat larian di sebelah kiri mengatasi tiga pemain pertahanan dijatuhkan dan memberikan sepakan percuma. Nik Akif mengambil sepakan merembat tinggi dan tamat separuh masa pertama.
Filipina jelas bermain lebih baik pada babak pertama dengan hantaran-hantaran kemas termasuk dalam kawasan Malaysia. Melihat kepada kelebihan fizikal yang dimiliki, Filipina juga banyak bermain hantaran tinggi yang direncanakan oleh arkitek serangan mereka, Markus Schrock bagi memerangkap pemain Malaysia.
Bahagian tengah Malaysia pula dilihat kurang kreativiti untuk menyumbang gerakan-gerakan yang diperlukan dengan Syamer Kutty dan Daniel Amier dilihat beberapa kali bermain dengan membuat hantaran jauh yang tidak tepat menyebabkan pasukan hilang penguasaan bola. Berisan serangan pula nampak agak sukar untuk mengatasi pemain pertahanan Filipina yang diketuai oleh pemain yang bertubuh besar, Amani Aguinaldo.
Bermula separuh masa pertama, pasukan tuan rumah lebih garang dengan beberapa kali melancarkan serangan. Layangan kad kuning pertama dilayangkan kepada Irfan Zakaria yang didakwa menyiku pemain Filipina ketika berlaku perebutan bola di udara. Minit ke-66, Daniel Amier membuat percubaan namun mudah ditangkap Pinthus. Kim Swee kemudian memasukkan dua pemain remaja Luqman Hakim Shamsudin dan Umar Hakeem menggantikan Nik Akif dan R. Dinesh.
Filipina akhinya memecah kebutuan selepas sepakan sudut yang diambil kapten pasukan, Stephen Schrock melencong dan terus masuk ke dalam gawang gol mengelirukan penjaga gol Haziq Nadzli yang gagal mengeluarkan bola tersebut selepas diasak Aguinaldo.
Selepas dibolosi satu gol, barulah Malaysia bermain lebih baik dengan mengatur gerakan dan membuat asakan demi asakan untuk mencari gol penyamaan. Minit ke-78, Syahmi Safari membuat hantaran lintang namun gagal ditanduk oleh Daniel Amier. Hadi Fayyadh yang mendapat bola itu turut gagal menyudahkan peluang yang sudah terhidang di hadapan gol.
Tiga minit kemudian, giliran Syahmi Safari pula mendapat peluang selepas menerima lorongan ke sebalah kiri pintu gol Filipina namun berjaya dipintas Justin Baas. Empat minit masa tambahan, Kim Swee memasukan R. Kogileswaran sebagai usaha terakhir untuk mendapatkan gol. Namun segalanya sudah terlewat sehinggalah pengadil meniup wisel penamat yang menceriakan ribuan penyokong tuan rumah.
Dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, pasukan Myanmar mengukuhkan kedudukan mereka dalam kumpulan A dengan meraih kemenangan 3-1 ke atas pasukan tercorot Timor-Leste.