Skuad Bawah-18 tahun Malaysia kecewakan Indonesia sekali lagi

Skuad Bawah-18 tahun negara mengecewakan pasukan Bawah-18 tahun pasukan Indonesia di perlawanan separuh akhir Asian School Football U-18 Championship (ASFC 2019) pada malam tadi. Dalam perlawanan tersebut, Malaysia telah menewaskan pasukan Indonesia 5-3 melalui penentuan sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 sehingga tamat masa sebenar.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Batakan, Balikpapan itu dihadiri oleh tidak kurang 40,000 penyokong pasukan lawan dan atmosfera di sana sangat luar biasa untuk sebuah pertandingan peringkat sekolah. Perlawanan terpaksa ditangguhkan selama 40 minit selepas bas yang membawa pasukan negara tersekat di kesesakan lalu lintas menuju ke stadium dan juga isu keselamatan.

Indonesia terlebih dahulu memperolehi gol pendahuluan dalam perlawanan ini sebelum pasukan negara berjaya mengikat kedudukan. Perlawanan turut terpaksa kerap diberhentikan oleh pengadil perlawanan selepas lemparan objek oleh penyokong Indonesia.

Semangat melawan pasukan muda negara yang diwakili rata-rata dari kelangan pemain Bawah-16 tahun Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari itu wajar dipuji dalam perlawanan ini. Selain daripada berhadapan dengan karenah penyokong pihak lawan, barisan pemain juga berjaya mengekang pasukan lawan walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas salah seorang pemain menerima layangan kad merah sebelum tamat perlawanan.

Pasukan negara dilaporkan terpaksa menunggu selama satu jam sebelum dibenarkan meninggalkan stadium akibat kekecohan yang berlaku selepas perlawanan. Malaysia akan berhadapan dengan pasukan Thailand di perlawanan akhir kejohanan ini yang dijadualkan akan berlangsung pada hari ini.