Tawau bakal jadi bandar raya menjelang tahun 2020

TAWAU, 25 Nov — Tawau bakal diangkat menjadi bandar raya seiring dengan perpindahan ibu negara Indonesia ke wilayah Kalimantan Timur sebagai lokasi yang baharu menggantikan Jakarta.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, untuk ke arah itu, Tawau perlu bersedia menjelang tahun 2020 dengan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menjadi Majlis Bandaraya Tawau.

Beliau berkata, pihaknya optimis perkara itu selepas melihat potensi Tawau untuk terus membangun.

“Hasil lawatan kerja dua hari di sini, saya melihat banyak potensi untuk membangunkan Tawau termasuk industri pelancongan, perniagaan dan perhotelan ekoran perpindahan ibu negara Indonesia yang baharu di Kalimantan.

“Justeru, lebih banyak kerja menaiktaraf khidmat pihak berkuasa tempatan dan infrastruktur akan dilakukan di sini,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak perumahan sewa beli di Batu 5, Jalan Apas di sini, hari ini.

Zuraida berkata, susulan itu beliau turut mengesyorkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk melakukan lawatan kerja ke Tawau termasuk kawasan sempadan bagi melihat sendiri potensinya.

“Oleh itu, saya berharap menjelang 2020, Tawau bersedia diangkat menjadi Majlis Bandaraya Tawau.

Sementara itu, Zuraida berkata Tawau boleh dibangunkan sebagai bandar raya pintar melalui kerjasama pintar dengan pelabur daripada luar.

“Ada potensi pelaburan China yang banyak kali menawarkan kepada jabatan di bawah kementerian yang menjaga bahagian pembangunan bandar pintar serta kawasan pihak berkuasa tempatan,”katanya.

Menurutnya, MPT boleh berbincang dengan pelabur berkaitan pembangunan Tawau sebagai bandar raya pintar tanpa membabitkan perbelanjaan daripada kerajaan.

— BERNAMA