Ultras Garuda Indonesia utus surat untuk protes di hadapan Konsulat Malaysia

Pada petang semalam telah tular satu surat rasmi yang telah diutus oleh Ultras Garuda Indonesia (UNI) kepada Ketua Polis Pekanbaru untuk membenarkan kumpulan penyokong garis keras itu melakukan protes di hadapan Konsulat Malaysia yang berada di bandar tersebut.

Surat yang bertarikh 23 November tersebut yang diutus beserta kepala surat telah merancang untuk melakukan protes pada hari ini dari pukul 1 tengah hari sehingga 3 petang waktu tempatan. Protes tersebut dianggotai oleh Ultras Garuda Cawangan Riau dan satu lagi kumpulan penyokong yang digelar Aliasi Suporter Riau.

Protes yang dirancang di hadapan Konsulat Malaysia ini adalah susulan perlawanan bola sepak saingan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini. Dalam perlawanan tersebut, Indonesia mendakwa bahawa penyokong mereka telah dikasari oleh para penyokong pasukan negara.

Selain itu, surat tersebut juga turut mengandungi empat tuntutan iaitu permohonan agar penyokong bola sepak Indonesia yang ditahan untuk dibebaskan dan kegiatan keganasan penyokong Malaysia terhadap para penyokong Indonesia diminta untuk disiasat. Kumpulan tersebut juga turut mendesak agar Kerajaan Malaysia melakukan permohonan maaf kepada para penyokong dan masyarakat Indonesia selain memulihkan semula nama baik sahabat mereka turut digelar sebagai pengganas.

Daripada surat tersebut juga, kira-kira 2,000 anggota kedua-dua kumpulan turut dijangka akan menyertai protes tersebut.