PEMULIH : Moratorium Selama Enam Bulan





Dengan langkah pelaksanaan Fasa Satu Pemulihan yang diambil oleh pihak kerajaan sekaligus melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh Malaysia, pastinya bantuan kepada segenap masyarakat diperlukan. Pengumuman khas daripada YAB Perdana Menteri memberikan sedikit kelegaan buat kebanyakan Rakyat Malaysia.




Antara bantuan yang dinanti-nantikan adalah berkenaan dengan pelaksanaan moratorium bayaran balik pinjaman bank. Menurut YAB Perdana Menteri, sebelum ini pelaksanaan moratorium secara bersasar dilakukan, namun kali ini terdapat perubahan terhadap pelaksanaan bantuan tersebut.




Sebelum ini, pada pakej bantuan Pemerkasa Tambahan, inisiatif bayaran balik dilakukan secara bersasar dan telah memberikan manfaat kepada 250 ribu peminjam yang layak. Peminjam yang layak diberikan kelulusan secara automatik setelah pendaftaran. Setelah itu, diberikan dua pilihan samada ingin mendapatkan moratorium selama 3 bulan atau pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama 6 bulan. 



Dengan pengumuman yang dilakukan semalam, kerajaan memutuskan untuk memberikan moratorium enam bulan. Berikut merupakan syarat penerimaan :



1. Terbuka kepada pemohon dari golongan B40, M40 dan T20
2. Tidak ada pengurangan pendapatan
3. Tidak perlu melakukan semakan pekerjaan
4. Tidak ada dokumentasi diperlukan
5. Permohonan perlu dibuat dan diberikan kelulusan automatik
6. Terbuka kepada pengusaha PKS
7. Permohonan dibuka pada 7 Julai
8. Perlu menandatangani perjanjian pindaan syarat pinjaman


Kerajaan berharap dengan pelaksanaan inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini. Walau bagaimanapun, kerajaan mengingatkan agar menggunakan tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, tidak menambah komitmen kewangan lain. 

Tiada ulasan