Kerajaan perlu membenarkan pengeluaran i-Citra Sekaligus RM5,000 untuk rakyat, setuju?

Kerajaan dicadangkan untuk memberi kebenaran pengeluaran wang menerusi i-Citra sekaligus sebanyak RM5,000 berbanding berskala setiap bulan.

Perkara ini dibangkitkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. Beliau berkata kaedah ini akan memberi ruang kepada rakyat untuk merancang perbelanjaan.

Tambahan beliau, sekiranya kerajaan tetap mengeluarkan wang secara berkala, pembayaran pertama hendaklah dibuat dalam jumlah yang tinggi.

Menerusi kenyataannya di Facebook, sebagai contoh, sekurang-kurangnya RM2,000 bayaran pertama dibenarkan bagi membantu rakyat yang mempunyai komitmen tertunggak bahkan amat terdesak kerana mereka lebih parah keadaannya berbanding PKP 1.0 dahulu.

Selain itu, had pengeluaran juga sepatutnya tidak terhad kepada RM5,000 kepada semua ahli sebaliknya berdasarkan baki simpanan yang ada di dalam akaun mereka.

Polisi one size fits all atau ‘satu saiz muat untuk semua’ tidak wajar untuk diaplikasikan, tetapi hendaklah membenarkan had pengeluaran dengan kadar lebih tinggi sehingga sekurang-kurangnya RM10,000 ke RM20,000 kepada pencarum yang ada baki simpanan RM100,000.

KWSP juga perlu untuk membenarkan akses ke Akaun 1 berbanding kaedah mengutamakan penggunaan Akaun 2.

Tambahannya lagi, sebaik-baiknya proses pembayaran dibuat pada 17 Julai ini bagi pengeluaran pertama tanpa perlu proses dan kelulusan yang mengambil masa panjang.

Lima cadangan menambah baik pengeluaran i-Citra daripada Pemuda UMNO ini dibuat berdasarkan keluhan yang disuarakan oleh rakyat.

Rakyat mendambakan keikhlasan kerajaan untuk membela nasib mereka yang kesempitan sehinggakan ‘bendera putih’ terpaksa dikibarkan seolah-olah kehabisan ikhtiar untuk meneruskan kehidupan seharian.

Semoga kerajaan menitik beratkan cadangan ini untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan ketika ini.

Sumber: Malaysiagazette.com