Senarai Bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) 2023

Bantuan JKM 2023 : Cara Mohon & Syarat Kelayakan

Perkhidmatan bantuan kewangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat disediakan kepada kumpulan sasar yang memerlukan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.

Secara prinsipnya, di dalam melaksanakan pemberian bantuan kepada rakyat, Kerajaan Malaysia tidak sesekali mengamalkan konsep Negara Kebajikan (Welfare State).

Skim bantuan JKM yang diwujudkan adalah sebagai alat dalam proses menolong klien ke arah pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian, yang merupakan satu kaedah dalam kerja sosial. Proses pemberian bantuan kebajikan juga mengambil kira potensi yang ada pada setiap penerima bantuan yang masih produktif ke arah hidup berdikari.

Objektif Bantuan JKM

Berikut adalah objektif bantuan JKM:

  • Memenuhi keperluan asas (basic needs) bagi meringankan beban penerima bantuan
  • Alat sokongan sosial (social support tools) untuk menilai kemampuan penerima bantuan ke arah berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan
  • Alat pemulihan (rehabilitation tools) agar penerima bantuan terus kekal tinggal bersama komuniti/masyarakat.
  • Sumber kewangan sementara penerima bantuan meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup

Syarat Kelayakan Permohonan Bantuan JKM

Semua permohonan bantuan JKM yang dibuat perlu memenuhi kriteria dan kadar pemberian bantuan kebajikan berdasarkan kepada setiap jenis bantuan berikut:

Pelaksanaan bantuan kebajikan adalah selaras dengan Senarai Bersama (Concurrent List) antara Kerajaan persekutuan dengan Kerajaan Negeri, yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah senarai 3 – jadual kesembilan Senarai Perundangan.

Cara Membuat Permohonan Bantuan JKM

Berikut dikongsikan cara untuk membuat permohonan bantuan JKM:

Hadir ke pejabat JKM yang berhampiran dengan membawa borang berkaitan dan dokumen sokongan.

Borang berkaitan:

  • Borang JKM 18 (Borang Permohonan Bantuan) – Muat Turun
  • Borang JKM 20 (Borang Kaji Semula Bantuan) – Muat Turun

Dokumen Sokongan:

  • Kad pengenalan pemohon
  • Salinan kad pengenalan suami/isteri/ibu/bapa/anak yang tinggal bersama
  • Salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama
  • Salinan penyata gaji (jika ada)
  • Dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan

INFO: Setiap permohonan bantuan JKM yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak

Maklumat Lanjut Bantuan JKM

Sebarang pertanyaan dan permasalahan dalam membuat permohonan bantuan JKM, anda boleh menghubungi JKM di talian 03-8000 8000 atau hadir terus ke pejabat JKM berhampiran anda.

Soalan Lazim (FAQ)

Adahkah kes yang telah diluluskan sebelum 1 Julai 2018 boleh diteruskan atau ditamatkan?

Mengikut Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan yang berkuatkuasa mulai 1 Julai 2018, kes tersebut boleh diteruskan sehingga tamat tempoh kelulusan bantuan dan kaji semula berikutnya akan menggunakan kriteria kelayakan Garis Panduan baharu.

Adakah penggunaan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Semasa berubah sekiranya PGK baharu dikeluarkan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi (UPE), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi?

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Semasa akan berubah mengikut PGK baharu yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Adakah bantuan kewangan JKM layak dipertimbangkan kepada pemohon yang berstatus Pemastautin Tetap (PR)?

Bantuan kewangan JKM tidak layak dipertimbangkan kepada pemohon yang berstatus Pemastautin Tetap (PR).

Adakah bantuan kewangan JKM boleh dipertimbangkan kepada keluarga/ penjaga yang mempunyai anak yang masih belum disahkan status kewarganegaraan?

Bantuan kewangan JKM tidak layak dipertimbangkan kepada keluarga/ penjaga sehinggalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan status kewarganegaraan kanak-kanak tersebut kecuali Bantuan Anak Pelihara yang tertakluk kepada punca kuasa pemeliharaan adalah dari Program Anak Pelihara JKM dan Akta Kanak-Kanak 2001.

Apakah definisi Komuniti Rentan?

Komuniti Rentan adalah merujuk kepada sekumpulan orang yang memerlukan (people in need) tinggal bersama-sama di sesuatu kawasan saling berinteraksi, berkongsi kemudahan serta perkhidmatan bagi memenuhi keperluan hidup serta mempunyai masalah, kepentingan dan matlamat yang sama.

Terdapat beberapa buah keluarga yang tinggal bersama-sama. Adakah keluarga tersebut layak memohon satu bantuan untuk semua isi rumah atau setiap keluarga boleh memohon bantuan secara berasingan?

Setiap keluarga boleh memohon secara berasingan. Pengiraan bilangan keluarga adalah mengikut bilangan Ketua Isi Rumah. Bantuan boleh diberi berdasarkan kepada keluarga atau individu mengikut skim bantuan yang ditetapkan sekiranya memenuhi syarat kelayakan.

Adakah Bantuan Kanak-Kanak (BKK) layak diberikan kepada keluarga/ penjaga yang sedang dalam proses mendaftar lewat kelahiran kanak-kanak dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?

BKK layak diberikan sekiranya keluarga/ penjaga adalah warganegara Malaysia.

Adakah perlu pengesahan dari pihak sekolah bagi kanak-kanak berumur 18 tahun ke atas yang masih bersekolah?

Tidak perlu pengesahan daripada pihak sekolah tetapi sekiranya ada, keraguan boleh meminta pemohon mendapatkan pengesahan daripada pihak sekolah.

Adakah Bantuan Kanak-Kanak (BKK) boleh diberikan kepada pelajar yang mengikuti Matrikulasi/ Asasi?

Tidak layak dipertimbangkan bagi mereka yang mengikuti program Matrikulasi/ Asasi kerana pelajar tersebut telah mendapat pembiayaan dari Pihak Kerajaan/ Pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bolehkah seorang kanak-kanak bertaraf warganegara yang dipelihara oleh ibu bapa yang bukan warganegara menerima Bantuan Kanak-Kanak (BKK)?

Bantuan boleh dipertimbangkan atas nama kanak-kanak berkenaan, dengan syarat kanak-kanak tersebut adalah warganegara Malaysia.

Adakah gaji minimum penerima Elaun Pekerja Cacat (EPC) ditetapkan kerana terdapat penerima EPC yang menerima upah yang sangat minimum RM5/ RM10 sehari?

Tiada had gaji minimum ditetapkan.

Adakah OKU yang berumur 16 tahun dan masih bersekolah layak memohon Elaun Pekerja Cacat (EPC)?

Tidak layak kerana pemohon masih berstatus pelajar sekolah.

Siapakah yang layak mengesahkan OKU yang bekerja sendiri?

Pengesahan OKU yang bekerja sendiri oleh pihak yang berautoriti seperti Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK)/ Penghulu/ Penggawa/ Ketua Kampung/ Pegawai Kerajaan Kumpulan Pengurusan dan Profesional/ Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah atau Pegawai Kes.

Adakah seorang isteri yang menerima Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT) kerana menjaga suaminya yang terlantar dan mempunyai 10 orang anak layak menerima Bantuan Kanak-Kanak (BKK)?

BKK tidak boleh diluluskan di atas nama isteri yang telah menerima BPT. Walau bagaimanapun, BKK boleh dipertimbangkan atas nama anak yang paling dewasa sekiranya memenuhi kelayakan BKK.

Adakah warga emas gelandangan yang tiada alamat rumah/ menggunakan alamat rumah transit/ alamat orang lain layak dipertimbangkan Bantuan Warga Emas (BWE)?

Tidak layak bagi pemohon yang tidak mempunyai alamat rumah dan menggunakan alamat rumah transit atau alamat orang lain. Setiap pemohon bantuan warga emas perlu membuktikan di mana pemohon tinggal sebelum permohonan diproses ataupun diluluskan.

Adakah warga emas sebatang kara menumpang di rumah orang lain yang berpendapatan melebihi PGK Isi Rumah Semasa layak dipertimbangkan Bantuan Warga Emas (BWE)?

Layak dipertimbangkan berdasarkan siasatan dan justifikasi yang kukuh seperti menumpang di rumah orang lain bagi membolehkan warga emas tersebut terus tinggal dalam komuniti.

Adakah setiap ahli isi rumah juga perlu mengemukakan pengesahan pendapatan masing-masing bagi setiap permohonan bantuan?

Pemohon bantuan sahaja yang perlu mengemukakan pengesahan pendapatannya manakala maklumat pendapatan ahli isi rumah lain dibuat berdasarkan siasatan.

Adakah wang perbelanjaan yang diberikan oleh anak adalah termasuk dalam PGK Isi Rumah Semasa?

PGK Isi Rumah Semasa mengambilkira semua sumber yang mendatangkan pendapatan.

Apakah takrifan ”Tidak mempunyai ibu bapa dan tinggal bersama keluarga ganti” di dalam Kriteria Bantuan Anak Pelihara (BAP)?

Keluarga ganti adalah waris atau penjaga yang berkelayakan dan sesuai untuk menjaga kanak-kanak tersebut dan tidak terikat dengan Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dan mana-mana Undang-Undang atau Peraturan.

Adakah keluarga yang mengambil kanak-kanak yang bukan warganegara layak dipertimbangkan Bantuan Anak Pelihara (BAP)?

Penjaga yang mengambil kanak-kanak yang bukan warganegara tidak layak menerima BAP.

Adakah keluarga yang memperolehi anak pelihara berstatus stateless melalui Program Anak Pelihara JKM atau melalui Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dipertimbangkan Bantuan Anak Pelihara (BAP)?

Boleh dipertimbangkan kerana punca kuasa pemeliharaan adalah dari Program Anak Pelihara JKM dan Akta Kanak-Kanak 2001.

Adakah keluarga lain yang menjaga kanak-kanak yang kematian ibu bapa (yatim piatu) layak dipertimbangkan Bantuan Anak Pelihara (BAP)?

Keluarga tersebut layak menerima BAP sekiranya ahli keluarga tersebut adalah keluarga ganti kepada kanak-kanak melalui surat atau laporan siasatan JKM.

Adakah klien yang terlantar boleh memohon Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT) yang tidak tersenarai di dalam Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan (GPPBKP)?

Klien yang terlantar boleh mendapatkan sokongan daripada Pegawai Perubatan sekiranya alat tiruan/ sokongan yang diperlukan tidak tersenarai dalam GPPBKP.

Bolehkah mesin Brailed dan cermin mata khas diberikan kepada OKU yang berumur 18 tahun ke bawah?

Berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan 2018, mesin Brailed dan cermin mata khas hanya layak diberikan kepada OKU yang berumur 18 tahun ke atas manakala OKU yang berumur 18 tahun ke bawah perlu mendapatkan syor daripada Pegawai Perubatan.

Adakah warga emas yang mengalami masalah pendengaran disebabkan faktor usia boleh memohon Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT)?

BAT boleh dipertimbangkan tetapi perlu diteliti dari segi keperluan dengan justifikasi yang kukuh.

Adakah penjawat awam layak dipertimbangkan Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT) untuk anaknya?

Penjawat awam tidak layak dipertimbangkan BAT kerana mereka tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009 – Peraturan Permohonan Perbelanjaan Kemudahan Perubatan.

Penafian

Kami bukanlah wakil mana-mana agensi kerajaan. Ini merupakan maklumat yang kami perolehi daripada website rasmi kerajaan ataupun berita. Mohon rujuk pautan asal untuk maklumat lanjut yang lebih lengkap.

Maklumat yang kami sampaikan berdasarkan info semasa atau bantuan tahunan berulang.