PLKN 3.0 : Program Latihan Khidmat Negara

PLKN 3.0 : Program Latihan Khidmat Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah dimansuhkan pada 2018 dengan menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya, dengan anak muda akan menjalani latihan di kem tentera.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari yang mampu menampung kapasiti sehingga 4,000 pelatih.

“Kerajaan sudah memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah Menteri pada 2021 sudah pun meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN.

PLKN 3.0 : Program Latihan Khidmat Negara
Dato Seri Mohamad Hasan Ketika Berucap Di Parlimen

“Satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN, tetapi dengan ‘template’ (acuan) baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem.

“Kita mahu supaya kali ini kita tidak berbelanja banyak, tetapi ia lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan,” katanya ketika menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

PLKN digagaskan pada 2002 dengan pembentukan Jabatan Latihan Khidmat Negara sebelum memulakan program itu pada 2004.

Ia kemudian telah ditangguhkan pada 2015 dan diperkenalkan semula setahun kemudian dengan anggaran pelaksanaan penuh pada 2019. Bagaimanapun, program itu dimansuhkan pada 2018.

Dalam pada itu, Mohamad ketika sidang media menjelaskan, pelaksanaan PLKN 3.0 akan merangkumi dua fasa, dengan fasa pertama membabitkan penyertaan pelajar tingkatan empat di sekolah menerusi badan beruniform.

“Selepas itu, mereka yang selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilatih dan diambil (dalam) apa yang disebut sebagai latihan fasa kedua. Ini lebih kepada latihan disiplin dan ketenteraan.

“Itu sebab dia punya cadangan supaya pusat latihan ini diadakan di kem tentera. Kita ada Pusat Latihan Askar Wataniah sebanyak 13 di seluruh negara serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang dapat menampung latihan untuk satu tahun sekurang-kurangnya 4,000 orang,” katanya.

Mengenai kos pelaksanaan PLKN 3.0, beliau berkata ia dicadangkan tidak melebihi RM100 juta setahun, lebih rendah berbanding lebih RM500 juta setahun sebelum ini.

Beliau turut memaklumkan penggunaan kem tentera dan PULAPOL dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan ia juga membolehkan mereka mendapatkan situasi sebenar ketenteraan dan kepolisan.

“Dalam 45 hari latihan ini, 90 peratus daripada modul adalah untuk latihan sebagai anggota tentera dan 10 peratus latihan kewarganegaraan.

“Disiplin penting, kita perlu anak muda yang memiliki disiplin tinggi dan latihan ketenteraan ini boleh memberikan semangat jati diri yang kuat kepada anak muda,” katanya.

Mohamad berkata, selepas pelatih menamatkan latihannya, mereka akan diberi peluang untuk menyertai badan uniform seperti tentera dan polis.

“Selepas berakhir fasa dua, mereka akan disambut oleh pertahanan awam, polis dan tentera. Mereka yang mahu masuk tentera akan diserapkan sebagai anggota tetap dan mereka akan jalani latihan asas dan rekrut semula.

“Mereka yang sudah masuk IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam) boleh sertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan lain-lain. Di universiti wujud badan uniform yang boleh memberikan peluang mereka untuk memasuki badan beruniform. Kalau mereka mahu jadi bomba, RELA pun memang sudah sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penambahan khidmat jurulatih dari veteran tentera juga dialu-alukan.

SUMBER: Berita Harian

Anda Mungkin Berminat:

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

PLKN mula diperkenalkan pada Disember 2003 sebagai program yang menyediakan modul latihan selama tiga bulan meliputi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti.

Struktur Latihan Khidmat Negara merangkumi latihan asas Ketenteraan yang meliputi aspek kepimpinan, ketahanan diri, keyakinan dan pembinaan kumpulan/ pasukan, aktiviti asas kawad, abseiling, latihan pandu arah, merempuh halangan, pengenalan ikhtiar hidup, jungle tracking, menyeberang sungai dan pengenalan kepada senjata api.

Elemen Kenegaraan / Pembentukan watak meliputi sejarah negara, kedaulatan dan maruah negara, struktur dan sistem dunia, Malaysia dan isu antarabangsa, ancaman keselamatan, ketahanan nasional dan sebagainya.

Sementara itu, elemen Khidmat Masyarakat meliputi aktiviti keceriaan di pusat latihan, khidmat komuniti, pengalaman di agensi awam, penghijauan bumi, kempen kitar semula, tunjuk ajar akademik, gotong-royong, projek masyarakat desa, kajian kumpulan, pemahaman sosial tempatan, pemulihan, alam sekitar, taklimat kesihatan, menderma darah dan sebagainya.

Program ini pernah dihentikan selama setahun pada 2015 ekoran langkah rasionalisasi perbelanjaan dan diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 setahun.

Pada 13 Ogos 2018, Mesyuarat Kabinet memutuskan untuk memansuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) serta-merta.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keputusan itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu setelah mendapati PLKN dan BTN telah disalah guna bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu.

Selain itu, antara faktor program ini dihentikan adalah kerana ia melibatkan kos yang besar sekitar RM700 juta setahun.

PLKN 3.0 : Program Latihan Khidmat Negara
SUMBER: Astro Awani

IMBAS KEMBALI : 16 FEBRUARI 2004 – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula

PLKN adalah sebuah program kenegaraan di mana pada setiap tahun, kira-kira 24% daripada remaja warganegara Malaysia berusia 18 tahun akan dipilih untuk menjalani kursus latihan wajib selama 3 bulan di Pusat Latihan PLKN di serata negara.

Ia bermula apabila Jawatankuasa Kabinet dibentuk untuk mengkaji keperluan satu bentuk kerahan tenaga pada 30 Oktober 2002. Ia dipengerusikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak & mesyuarat pertamanya diadakan pada 12 November 2002.

Istilah ‘kerahan tenaga’ ditukar kepada ‘Khidmat Negara’’ & Jawatan Kuasa tersebut juga menubuhkan 4 Jawatan Kuasa Kecil meliputi hal Kewangan, Kurikulum, Undang-Undang & Logistik bagi menyediakan perancangan & menyelaraskan keperluan pelaksanaan PLKN.

Kabinet pada 28 Mei 2003 telah meluluskan cadangan pelaksanaan PLKN, kemudian pada 25 Jun 2003, Dewan Rakyat meluluskan RUU Latihan Khidmat Negara & secara rasmi ia menjadi sebuah akta pada 7 Julai selepas diluluskan Dewan Negara.

Ia dilancarkan pada 16 Februari 2004, apabila 26,000 remaja dipilih sebagai kumpulan pertama untuk menyertai siri pertama PLKN, diikuti 59,000 lagi sebagai kumpulan ke-2 & ke-3 yang masing-masing memulakan latihan pada Mac & April 2004.

Para pelatih menjalani latihan yang ditetapkan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam 4 modul: Fizikal, Kenegaraan, Pembinaan Karakter & Khidmat Komuniti yang bermatlamat untuk memperkasa jati diri generasi baharu Malaysia.

Bagaimanapun selepas 11 tahun, Najib Razak selaku PM ketika itu mengumumkan penangguhan pelaksanaan program ini untuk menjimatkan kira-kira RM400 juta ketika pengumuman semakan Belanjawan 2015 pada 20 Januari 2015.

Pada 13 Ogos 2018, Menteri Belia & Sukan ketika itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan bahawa PLKN bersama Biro Tata Negara (BTN) dimansuhkan.

SUMBER: Arkib Negara Malaysia, JLKN, Astro Awani

PLKN 3.0

PLKN yang akan dilaksanakan kali ini akan dibuat di kem tentera dan ia tidak akan mengambil masa lama seperti dahulu.

Bagi pelaksanaan kali ini, sebanyak 13 kem wataniah seluruh negara akan digunakan dan satu kem Pusat Latihan Polis (Pulapol) boleh digunakan untuk latihan selama 45 hari yang boleh menampung 4,000 orang untuk setahun.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan menggunakan modul kombinasi latihan ala ketenteraan sebanyak 90% dan modul kenegaraan sebanyak 10% selain lokasi latihan yang akan menggunakan kem-kem latihan milik kerajaan seperti Kem Wataniah AngkatanTentera Malaysia (ATM), kem latihan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2023.

Pelaksanaan PLKN 3.0

Pelaksanaan PLKN 3.0 akan merangkumi dua fasa.

  • Fasa Pertama: Membabitkan penyertaan pelajar tingkatan empat di sekolah menerusi badan beruniform
  • Fasa Kedua: Selesai SPM (lebih kepada latihan disiplin dan ketenteraan)

Syarat Kelayakan PLKN

PLKN diwajibkan untuk remaja lepasan SPM atau berumur 17 tahun.

Lokasi Pelaksanaan PLKN 3.0

Tarikh pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 ini belum diputuskan lagi.

Namun, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk mengkaji pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara ini tetapi dengan ‘template’ yang baru.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai Program Latihan Khidmat Negara 3.0 boleh layari laman Facebook Rasmi Kementerian Pertahanan Malaysia atau laman web rasmi https://mod.gov.my/ms/

Penafian

Kami bukanlah wakil mana-mana agensi kerajaan. Ini merupakan maklumat yang kami perolehi daripada website rasmi kerajaan ataupun berita. Mohon rujuk pautan asal untuk maklumat lanjut yang lebih lengkap.

Maklumat yang kami sampaikan berdasarkan info semasa atau bantuan tahunan berulang.