TERKINI : Ringgit, Bursa Malaysia Dijangka Naik Minggu Ini

Ringgit, Bursa Malaysia Dijangka Naik Minggu Ini

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi tidak menolak kemungkinan bahawa Bursa Malaysia dan ringgit akan meningkat minggu ini berdasarkan prestasi lebih baik Jumaat lalu walaupun pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 lebih rendah.

Bursa Malaysia Dijangka Naik

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, tidak mustahil Bursa Malaysia meningkat selepas menyaksikan penutupan pada Jumaat lalu pada 1,533.55.

bursa malaysia
Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff

“Bursa Malaysia pernah mencapai purata 1,600 selepas pandemik pada 2022, jika waktu itu ekonomi tak menentu boleh mencapai purata sebegitu, saya rasa kita juga boleh capai lebih selepas melihat prestasi pada Jumaat lepas,” katanya.

Menurutnya, pembelian ekuiti oleh pelabur asing turut menyumbang kepada jangkaan peningkatan Bursa Malaysia itu.

“Pada kebiasaannya jika banyak pelabur asing masuk ke pasaran Malaysia, peruncit tempatan juga akan turut serta.

“Kemasukan pelabur asing itu berikutan nilai ringgit yang rendah mendorong kepada minat mereka untuk melabur di negara ini,” ujarnya.

Minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan KDNK bagi suku keempat dan 2023 masing-masing pada 3.0 peratus dan 3.7 peratus.

Dalam reaksi kepada laporan itu, ringgit meningkat ke paras 4.7765/7820 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada Jumaat daripada 4.7800/7850 yang dicatatkan pada hari sebelumnya.

Bursa Malaysia pula ditutup tinggi sedikit pada 1,533.55 naik 5.17 atau 0.34 peratus daripada 1,528.38 kelmarin.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 553 kaunter berbanding 450, manakala 500 kaunter tidak berubah dan 797 lagi tidak diniagakan.

TENGAH TRENDING:—————————

———————————————————

Nilai Ringgit Malaysia Jatuh Ke Paras RM4.80

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula menjangkakan nilai ringgit berbanding dolar AS terus lemah dalam julat RM4.70 dan mungkin akan sampai pada paras RM4.80.

ringgit malaysia jatuh ke paras RM4.80
Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

Jelasnya, petunjuk aras iaitu indeks DXY yang mengukur kekuatan nilai mata wang dolar AS terus mengukuh pada 104 mata dan menuju ke arah yang lebih tinggi berikutan pengumuman Rizab Persekutuan (Fed) AS.

“Fed AS akan mengekalkan kadar faedahnya antara 5.25 peratus ke 5.5 peratus lebih lama dari jangkaan dan tidak akan mengurangkannya seperti jangkaan awal iaitu pada bulan Mac 2024,” katanya.

Mengulas pengumuman BNM minggu lalu, beliau berkata, KDNK negara masih jauh dibawah sasaran awal kerajaan pada 4.0 hingga 4.5 peratus menunjukkan ekonomi negara begitu terkesan dengan sektor eksport.

“Sektor eksport negara menurun walaupun ekonomi domestik negara berkembang baik kerana ia tidak cukup untuk menyokong keseluruhan ekonomi,” ujarnya.

Beliau berkata, prestasi Bursa Malaysia setelah meningkat dengan baik minggu lepas pula bakal dipengaruhi oleh prestasi pasaran saham dunia yang lain yang menurun seperti di New York, United Kingdom dan negara-negara lain.

Bagi Aimi, faktor global banyak mempengaruhi prestasi Bursa Malaysia dan nilai ringgit semasa dan tidak dapat lari daripadanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Ikuti Telegram Rasmi: https://t.me/blogrojak

Penafian

Kami bukanlah wakil mana-mana agensi kerajaan. Ini merupakan maklumat yang kami perolehi daripada website rasmi kerajaan ataupun berita. Mohon rujuk pautan asal untuk maklumat lanjut yang lebih lengkap.

Maklumat yang kami sampaikan berdasarkan info semasa atau bantuan tahunan berulang.