Norshahrul Idlan sedia menutup mulut penyokong yang mempertikaikan kebolehannya

Baru-baru ini terdapat komen daripada para penyokong Harimau Malaya tentang Matyo yang dikatakan sudah tidak mempunyai sengat sebagai seorang penyerang seperti suatu ketika dahulu. Antara salah satu hantaran dalam Facebook berkata “Dah tak relevan dah Matyo tu, dah habis dah zaman dia.” Manakala dalam satu hantaran lain pula mengatakan “Kalau coach letak Matyo tu, bukan saya saja yang tak setuju, banyak lagi penyokong yang tak setuju. Daripada turunkan Matyo, lebih baik turunkan pemain muda.”
Berita mengenai jurulatih skuad negara iaitu Tan Cheng Hoe yang bakal mempertimbangkan kelibat Norshahrul Idlan Talaha bagi mengisi kekosongan Syafiq Ahmad yang digantung untuk pertemuan dengan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini nampaknya telah mengundang pelbagai reaksi.
Daripada ratusan yang tak bersetuju, terdapat segelintir para penyokong yang menyokong dan menghargai sumbangan masa silamnya bersama skuad kebangsaan tetapi mereka lebih gemar memilih untuk berdiam diri daripada mempertahankannya. 
Setiap kali dipanggil bagi tugasan skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan tetap akan menyahut tuntutan di sebalik tubuh berusia 33 tahun itu yang seharusnya menuntut untuk dimanja-manjakan dengan istirehat pada penghujung satu musim yang panjang. Tetapi, berapa ramai di luar sana yang memahami jerih-perih seorang pemain kebangsaan yang tidak pun dijanjikan habuan kekayaan melainkan untuk memperhambakan diri demi lencana di dada.
Bukan baru-baru ini saja para peminat bola sepak sering mempersendakannya tetapi dia tidak pernah ambil pusing akan komen-komen mereka yang langsung tidak membina, sebaliknya dia akur kepada keperluan pasukan dan jurulatih yang masih menaruh kepercayaan terhadap fungsi yang boleh dimainkannya. Buat seorang penyerang yang telah membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan ketika menentang pasukan Bahrain pada 28 Oktober 2007, Norshahrul atau Matyo sudahpun menempuhi satu perjalanan yang sangat panjang dalam karier bola sepaknya.
Norshahrul telah bergelar sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) sebanyak tiga kali berturut-turut antara tahun 2010-2012 yang mana mahkota tersebut kini diwarisi oleh Safawi Rasid buat dua tahun terakhir ini dan tiada mana-mana pemain dalam pasukan kebangsaan kini yang mampu mengatasinya daripada segi pengalaman yang ada pada dirinya. 
Mungkin pada perlawanan malam ini Matyo mampu untuk mendiamkan dan menutup segala mulut-mulut lancang ke atasnya dengan menyajikan kita persembahan terbaiknya. Apa-apa pun sama-samalah kita mendoakan yang terbaik buat pasukan Harimau Malaya kita yang tercinta.