Ong Kim Swee : Tiada kelibat Safawi Rasid dalam Skuad Sukan SEA kali ini

Impian para peminat bola sepak negara untuk melihat kelibat penyerang sensasi negara iaitu Mohd Safawi Rasid untuk membantu Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) merangkul pingat emas dalam kejohanan Sukan SEA Filipina yang bermula hujung bulan ini tidak menjadi kenyataan.

Ianya selepas ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee membuat kejutan besar apabila memutuskan untuk tidak menyenaraikan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ke dalam skuad kendaliannya. Safawi telah dinasihatkan untuk berehat oleh Datuk Ong Kim Swee sendiri walaupun ia adalah keputusan yang amat berat buat pengendali berusia 48 tahun itu.

“Keputusan ini dibuat demi kebaikan Safawi yang mana kita semua tahu beliau telah bermain begitu banyak perlawanan bersama kelab dan juga pasukan negara, temasuk mewakili pasukan B-22 negara pada awal tahun ini. Jadi saya terpaksa untuk memutuskan agar Safawi berehat kerana pasukan negara mempunyai jadual yang amat penting pada tahun hadapan. Saya harap semua pihak harus faham dengan apa yang saya lakukan.”

 Bagaimanapun, menurut Kim Swee, ketiadaan Safawi itu seharusnya dimanfaatkan oleh para pemain yang lain untuk menyinar di kejohanan dwi tahunan itu. Ketika ini seramai 32 pemain sedang giat menjalani latihan bagi merebut tempat ke Sukan SEA Filipina selepas tujuh pemain Harimau Malaya yang terlibat menumpaskan Indonesia dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Selasa melaporkan diri.

Tujuh pemain itu adalah Muhammad Akhyar Rashid, Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Haziq Nadzli, Adam Nor Azlin, Danial Amier Norhisham, Dominic Tan dan Muhammad Syahmi Safari.

Ong Kim Swee dijangka akan mengumumkan senarari akhir 20 pemain yang akan dibawa ke Filipina selepas pasukan itu mengharungi perlawanan persahabatan berdepan dengan Western Australia dan Northern Territory Australia hari ini. Para pemain yang terpilih akan berangkat ke Manila pada 23 November ini dan akan memulakan aksi kumpulan A menentang pasukan Myanmar dua hari kemudian.