Tan Cheng Hoe beri amaran untuk waspada dengan ‘Garuda Baharu’

Pengendali skuad negara iaitu Tan Cheng Hoe sekali lagi mengingatkan kepada anak buahnya agar lebih berwaspada dengan ancaman ‘Garuda Baharu’ apabila melayan kunjungan pasukan Indonesia dalam aksi ke-5, kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada esok hari.

Menurut Tan Cheng Hoe, pasti banyak perubahan yang akan dilakukan kepada skuad Indonesia yang dikendalikan secara sementara oleh Yeyen Tumena selepas Simon McMenemy dipecat akibat prestasi yang sangat buruk oleh Sang Garuda dalam empat aksi sebelum ini yang mana mereka telah tewas dalam semua perlawanan.

Turut mencuri perhatian apabila beberapa tonggak utama pasukan telah digugurkan seperti Andik Vermansyah, Evan Dimas, Hansamu Yama, Beto Goncalves, Saddil Ramdani dan juga Sefano Lilipaly. Hal ini sekaligus mengundang banyak persoalan tentang bagaimanakah rupa dan corak permainan yang bakal ditunjukkan oleh Yeyen Tumena untuk skuad Garuda Baharu ini.

Bercakap kepada Harian Metro, Tan Cheng Hoe berkata bahawa pasukan Indonesia pastinya memburu kemenangan pertama mereka untuk Derbi Serumpun ini dengan perubahan ketara ke atas skuadnya.

“Kita tahu mereka (Indonesia) telah melakukan beberapa pertukaran termasuk jurulatih dan membawa pemain baharu ke dalam skuad. Ia pasti akan membawa beberapa perubahan kepada pasukan itu yang sudah tentu inginkan kemenangan dengan pasukan baharu. Jadi kita tidak boleh lagi memikirkan atau terlalu yakin dengan kemenangan lalu kerana sekarang semuanya sudah berbeza,” ujar pengendali berusia 51 tahun itu yang ditemui sejurus sesi latihan.

Tambah Tan Cheng Hoe lagi, apa sahaja isu berhubung dengan pasukan lawan, para pemainnya diingatkan agar tidak terlalu memikirkannya kerana ia boleh mengganggu persediaan dan tumpuan para pemain.

Bercakap kepada Berita Awani pula, pengedali skuad kebangsaan itu menjelaskan Norshahrul Idlan Talah mungkin tidak sehebat seperti 10 tahun dahulu namun pengalaman yang ada pada pemain berusia 33 tahun itu masih mampu memberikan seumbangan buat jentera serangan skuad negara.

“Ada satu, dua pemain yang kita rasa boleh isi bahagian serangan dan tentunya Mat Yo (Norshahrul Idlan) adalah pemain yang paling berpengalaman. Kemungkinan besar kita boleh pertimbangkan,” ujarnya sambil menyatakan bahawa nama Norshahrul Idlan masih besar buat pasukan Indonesia dan mampu menghadirkan rasa gerun.