Tan Cheng Hoe puji mentaliti para pemain Harimau Malaya

Ketua jurulatih pasukan negara iaitu Tan Cheng Hoe menyatakan kekagumannya terhadap mentaliti para pemain kendaliannya dalam aksi menentang Indonesia di perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam semalam.

Kemenangan 2-0 tersebut bermakna pasukan Malaysia kini mengumpul 9 mata hasil daripada dua kemenangan sekaligus berada di tangga kedua Kumpulan G setelah perlawanan antara pasukan Vietnam dan Thailand terikat tanpa jaringan di Hanoi, dan UAE tidak beraksi pada perlawanan malam tadi.

Pada 30 minit pertama memperlihatkan bahawa pasukan Malaysia mengalami kesukaran dalam berhadapan barisan para pemain kendalian Yeyen Tumena itu setelah pasukan pelawat lebih selesa bertahan dan melancarkan serangan balas pantas. Namun demikian walaupun skuad Garuda tampil dengan barisan pemain berbeza dan mantap namun pasukan kebangsaan sebaliknya memperagakan mentaliti hebat untuk memastikan kemenangan.

“Sungguh menakjubkan dan bukan senang nak menentang pasukan Indonesia yang menggunakan ramai pemain baharu dalam pasukan. Saya lihat mentaliti pemain cukup tinggi apabila kami hilang bola dan pemain cepat bangkit untuk mengejar dan ianya satu sikap serta komitmen yang sangat baik daripada mereka,” kata Tan Cheng Hoe dalam sidang media semalam.

Dua gol hasil daripada jaringan Safawi Rasid semalam memastikan pasukan negara membawa pulang tiga mata berharga. Gol pertama terhasil melalui satu sepakan percuma cantik pada minit ke-30 disusuli dengan rembatan kencang kaki kiri Safawi pada minit ke-73 selepas kesilapan pemain pertahanan pasukan pelawat dan ini bermakna pasukan Indonesia masih gagal melakar sebarang kemenangan sepanjang kempen ini.