Akhirnya kerajaan umumkan bila tarikh wang Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mula dikreditkan

 Seramai 8.45 juta penerima akan menerima bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) secara berperingkat bermula Rabu (24 Februari 2021) melibatkan peruntukan berjumlah RM1.93 bilion, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Maksudnya, duit akan dimasukkan ke akaun bank anda bermula Rabu lepas (24 Februari).

Beliau berkata, ia membabitkan bayaran kepada 4.4 juta penerima kategori isi rumah iaitu sebanyak RM300 setiap penerima dan 4.05 juta yang akan menerima RM150 setiap seorang untuk kategori individu bujang.

“Bagi isi rumah dan individu bujang, bayaran akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank bermula esok, manakala bayaran akan disalurkan melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mereka yang tidak memiliki akaun bank bermula Khamis.

“Penerima bantuan di Sabah dan Sarawak yang tidak memiliki akaun bank pula akan mula menerima bayaran bermula 1 Mac hingga 1 April ini di lokasi yang akan diumumkan kelak bersekali dengan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0),” kata Tengku Zafrul menerusi kenyataan pada Selasa.

Tengku Zafrul berkata, pembayaran fasa pertama itu dibuat kepada penerima Bantuan Sara Hidup 2020 dan BPN B40 yang telah diluluskan sebelum ini.

Bagi mereka yang telah memohon BPR, anda boleh menjangkakan bila bantuan ini akan disalurkan kepada akaun bank anda. Bagi mereka yang tiada akaun bank, nampaknya mereka kena menunggu bantuan ini bermula Mac/April.

Bagi mereka yang ingin menyemak status BPR mereka, anda boleh layari: https://bpr.hasil.gov.my/