BANTUAN RM500 Kerajaan kepada B40: Ini yang perlu dilakukan oleh mereka yang layak

Semalam kerajaan telah umumkan beberapa benda dalam satu program yang diorang panggil PEMERKASA. Kami yakin, ramai di antara korang yang akan tertanya-tanya tentang bahagian yang korang akan dapat melalui benda ni. Yalah, ketika Covid-19 sedang melanda, ramai yang memerlukan bantuan.

Menurut Perdana Menteri semalam, kerajaan telah peruntukkan RM1.2 bilion bagi membantu 2.4 juta penerima yang kehilangan punca pendapatan.

Beliau berkata, bantuan tunai sebanyak RM500 secara one-off diberikan kepada golongan B40, dan tambahan sebanyak RM500 diberikan kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.

Kedua-dua kategori ini, jelas Perdana Menteri lagi, melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan.

MAKSUDNYA, KORANG TAK PERLU LAKUKAN APA-APA PENDAFTARAN, IA AKAN DIBERIKAN SECARA AUTOMATIK.

“Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem LHDNM, KWSP dan PERKESO. Insha-Allah, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing,” katanya lagi.



Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan antara individu yang berstatus bankrap dengan pihak bank, bagi membolehkan golongan berkenaan turut menikmati bantuan Kerajaan.

“Kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian (online) melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka. Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan,” katanya lagi.

Kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual, yang akan berakhir pada 31 Mac ini, sehingga 30 Jun 2021. Jenis kontrak yang terlibat, tambahnya lagi, akan turut diluaskan bagi membantu rakyat yang terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontrak mereka.

Apa-apa pun, kala ada orang mintak korang daftar apa-apa atau bayar dia untuk dapat bantuan daripada kerajaan ni, percayalah; korang tengah kena kencing. Jadi pastikan korang tak kena tipu. Korang boleh relaks, dan tunggu bantuan daripada kerajaan jika betul-betul terjejas. 

Tiada ulasan