Laluan Penerbangan Tawau-Brunei akan rancakkan sektor pelancong Sabah

TAWAU: Laluan penerbangan Tawau-Brunei oleh Royal Brunei Airlines (RBA) yang mula beroperasi pada Isnin akan merancakkan sektor pelancongan negeri Sabah secara keseluruhan.

Pembantu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jimmy Wong berkata, impak laluan positif tentunya akan diperoleh sektor pelancongan negeri dan bukan hanya kepada kawasan pantai timur semata-mata.

“Kita teruja dengan perkhidmatan ditawar RBA yang tentunya membolehkan orang luar atau pelancong datang ke Sabah khususnya Tawau dan Semporna dengan akses lebih mudah,”katanya yang juga wakil rakyat Sri Tanjung.

Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penerbangan Sulung Royal Brunei Airlines (RBA) di Lapangan Terbang Tawau pada Isnin yang dihadiri Pengurus Besar Sabah Tourism Board (STB) Noredah Othman.


Katanya, perkembangan ini perlu disokong semua pihak dan usaha menaiktaraf lapangan terbang Tawau perlu dilakukan untuk menerima kedatangan penumpang antarabangsa dengan lebih selesa.

Sementara itu Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Datuk Ir. Amrullah Kamal pula dalam kenyataan, optimis laluan penerbangan baharu itu akan membuka peluang luas kepada warga Tawau dalam semua aspek.

“Terutama sekali peningkatan ekonomi kepada para peniaga dan pengusaha untuk mempromosi produk dan tentunya aspek pelancongan daerah akan dapat dikembang luaskan,”katanya.

Amrullah turut berharap agar laluan baharu itu akan menjadi pencetus kepada pihak kerajaan untuk menaiktaraf lapangan terbang Tawau kepada bersifat antarabangsa.

“Ini bagi membolehkan kita bersedia menerima lebih ramai penumpang ke lapangan terbang ini dari 1.4 juta pada masa kini kepada 5 hingga 7 juta penumpang setahun pada masa akan datang,”katanya.

RBA akan melakukan penerbangan ke Tawau enam kali seminggu menggunakan pesawat ATR 72-600 yang memuatkan 72 kerusi kelas ekonomi.

SUMBER

Catat Ulasan

0 Ulasan