Ringkasan Belanjawan Negara 2024

Ringkasan Belanjawan Negara 2024

Hari ini pada 13 Oktober 2023, Jumaat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan, akan membentangkan Belanjawan Negara 2024 ke Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia. Beliau mula berucap pada jam 4 petang. Rakyat Malaysia menantikan dengan penuh harapan dan semangat menanti apa yang bakal diumumkan oleh beliau mengenai bantuan kewangan untuk rakyat dan negara.

Ringkasan Belanjawan Negara 2024
YAB Perdana Menteri Di Parlimen Untuk Membentangkan Belanjawan Negara 2024

Tiga tumpuan utama bagi Belanjawan Negara 2024 adalah :

  • Tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan
  • Penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan
  • Peningkatan darjat hidup rakyat

Cukai

Menurut Perdana Menteri dalam Belanjawan Negara 2024, mulai tahun hadapan beberapa langkah reformasi cukai akan dilaksanakan bagi meluaskan asas hasil tetapi akan dirangka supaya tidak membebankan majoriti rakyat.

  • Antara perubahan yang bakal dibuat pada tahun hadapan ialah kenaikan cukai perkhidmatan dari 6% kepada 8% dengan skop yang lebih luas seperti logistik, pembrokeran, penajajaminan dan juga karaoke.
  • Namun begitu, kadar 6% dikekalkan untuk cukai perkhidmatan dalam skop makan & minuman, telekomunikasi, parkir kereta.
  • Cukai Keuntungan Modal akan mula dikuatkuasakan bagi pelupusan saham yang tidak tersenarai oleh syarikat tempatan bermula 1 Mac 2024 pada kadar 10% keuntungan bersih.
  • Bermula tahun hadapan juga, E-invois akan menjadi mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bermula Ogos 2024.

Tangani Ketirisan

Kerajaan akan memperketat langkah kawalan penyeludupan dan memperluas kepada produk minuman keras dalam Belanjawan Negara 2024 ini.

  • Aktiviti pindah kapal (transhipment) bagi produk minuman keras akan dihadkan di pelabuhan tertentu sahaja.
  • Aktiviti import bagi rokok untuk pasaran domestik pula hendaklah dilakukan secara muatan kontena secara penuh (full container load).

Subsidi

  • Sebanyak RM 64 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan tetapi keperluan tahun ini dijangka mencecah 81 bilion ringgit.
  • Pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa. Hasil penjimatan subsidi ini sebahagiannya akan disalurkan terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah(STR) daripada 8 bilion ringgit kepada 10 bilion ringgit.

Penting : Baca di sini mengenai Sumbangan Tunai Rahmah 2024 yang baharu yang akan dilaksanakan menurut Belanjawan Negara 2024

1. Ayam dan Telur

Kerajaan telah mengambil langkah melepaskan harga sementara yang ditetapkan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas bagi memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.

2. Bil Elektrik

Kerajaan akan terus menambah baik pendekatan subsidi elektrik bersasar mengikut tahap penggunaan elektrik. Pemberian rebat bil elektrik diperkenal sehingga RM 40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM 55 juta. Selain itu, Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.

Projek Kesejahteraan Rakyat

Kerajaan akan terus membela nasib rakyat dan menumpukan keutamaan terhadap perkhidmatan dan projek-projek yang memberi kesejahteraan kepada rakyat dalam Belanjawan Negara 2024.

  • Projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya tahun ini juga.
  • Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada 200 ribu ringgit ketimbang 100 ribu ringgit kepada 115 jurutera daerah dengan peruntukan keseluruhan 30 juta ringgit bagi menangani aduan kecil dan luar jangka melibatkan Jalanraya Persekutuan.
  • 100 juta ringgit disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus.
  • 50 juta ringgit turut disediakan untuk tujuan sama di kawasan PBT seluruh negara.
  • 50 juta ringgit juga disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan.

PTPTN

Diskaun PTPTN Diskaun bayaran balik PTPTN bermula 14 Oktober 2023 – 31 Mac 2024 mengikut kadar berikut:

  1. Diskaun 10%, bagi bayaran penuh hutang
  2. Diskaun 10%, bagi sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah hutang dalam satu bayaran
  3. Diskaun 15% bagi bayaran potongan gaji atau debit berjadual.

Keadilan Rakyat

  • 10 juta ringgit tambahan dibawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia Luar Negeri bagi membela nasib rakyat kita yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan serta kes-kes kebajikan lain di luar negara.
  • Dasar Peluang Kedua akan diperluas kepada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah yang muflis yang mempunyai hutang tidak melebihi 200 ribu ringgit bermula tahun hadapan.

Dalam Belanjawan Negara 2024 kali ini, kerajaan madani akan mempergiatkan lagi perlaksanaan inisiatif penyediaan perkhidmatan terus kepada rakyat dengan peruntukan perbelanjaan RM26 juta yang merankumi :

  • Klinik bergerak oleh hospital pengajar universiti bagi memberi rawatan asas termasuk saringan awal kanser payudara.
  • Klinik pergigian bergerak dengan meluaskan perkhidmatan ke kawasan baharu di Penampang dan Keningau, Sabah.
  • Bank bergerak dengan kerjasama bank tempatan bagi membawa perkhidmatan perbankan ke kawasan pedalaman.
  • Mahkamah bergerak khususnya melibatkan kes-kes sivil.

Kemajuan Sabah & Sarawak

Di bawah Kerajaan Perpaduan, usaha menzahirkan kesepakatan yang dicapai pemimpin terdahulu dalam Perjanjian Malaysia 1963 telah direalisasikan dan akan diteruskan lagi dalam Belanjawan Negara 2024 kali ini antaranya :

  • Kerajaan Perpaduan telah meningkatkan kadar Pemberian Khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada 300 juta ringgit ketimbang 16 juta ringgit bagi Sarawak dan 125.6 juta ringgit bagi Sabah sebelum ini.
  • Penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.
  • Kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan kepada pelaksanaan penjanaan tenaga secara solar hibrid serta pembinaan jaringan talian penghantar elektrik di selatan Sabah.
  • Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada Kerajaan negeri.

Bantuan Rakyat

Bagi tahun 2024, 58.1 bilion ringgit disediakan untuk membiayai pelbagai bentuk pemberian Kerajaan kepada rakyat merangkumi subsidi, insentif dan bantuan. Hampir 50 peratus peruntukan ini adalah untuk mengawal harga barang dan perkhidmatan untuk manfaat rakyat.

1. Program Community Drumming

  • 225 juta ringgit disediakan untuk membiayai kos pengedaran barangan keperluan asas seperti petrol, LPG, tepung, beras dan minyak masak ke kawasan desa serta pedalaman.
  • Program ini akan diperluas ke kawasan baharu antaranya di zon Abai, Sandakan, Sabah dan Engkerebai, Mukah, Sarawak.

2. Payung Rahmah

  • RM 200 juta untuk meneruskan pelaksanaan Payung Rahmah.
  • Inisiatif Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan diskaun sehingga 30 peratus akan dikembangkan ke lebih ramai DUN di seluruh negara.
  • Program Pasar Rahmah yang menawarkan insentif kepada 1.2 juta pengusaha pasar borong, pasar malam dan pasar tani juga diteruskan.

3. Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)

  • 500 juta ringgit disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program IPR bagi menambah pendapatan mereka.

4. Program MyStep

  • Peserta MySTEP berpeluang untuk meningkatkan kemahiran mereka melalui platform MyFutureJobs.
  • Inisiatif ini akan menawarkan 50 ribu peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC bermula Januari 2024.
  • PERKESO akan menyediakan insentif khas sebanyak 1,500 ringgit sebulan selama enam bulan untuk menyokong kemasukan lebih 3,300 pencari kerja dengan peruntukan 30 juta ringgit.
  • Dasar 1 Peratus Peluang Pekerjaan kepada OKU akan diperluas kepada golongan bekas banduan dan warga emas melalui padanan pekerjaan MYFutureJobs dan program MySTEP.
belanjawan negara 2024

SUMBER: Ucapan Rasmi Belanjawan Negara 2024

Anda Mungkin Berminat:

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai intipati Belanjawan Negara 2024 boleh rujuk laman web rasmi MOF

Penafian

Kami bukanlah wakil mana-mana agensi kerajaan. Ini merupakan maklumat yang kami perolehi daripada website rasmi kerajaan ataupun berita. Mohon rujuk pautan asal untuk maklumat lanjut yang lebih lengkap.

Maklumat yang kami sampaikan berdasarkan info semasa atau bantuan tahunan berulang.